Pengurusan bilik darjah masa ini adalah kompleks kerana melibatkan aspek pengurusan serta pengajaran dalam satu masa yang sama. Di sekeliling guru adalah masyarakat yang sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah, melalui anak-anak mereka. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang. Kajian ini bertujuan untuk mengetahui tahap pengurusan serta amalan pengurusan yang dilaksanakan oleh guru-guru, di samping mengenalpasti masalah yang sering dihadapi oleh para guru dalam mengurus bilik darjah. Objektif kajian ini dijalankan juga adalah bertujuan untuk mengetahui masalah yang dihadapi guru-guru serta peranan seseorang guru dalam pengurusan bilik darjah di sesebuah sekolah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa para guru mempunyai tahap pengetahuan tentang pengurusan bilik darjah dan amalan pengurusan bilik darjah yang tinggi. Dapatan turut menunjukkan masalah yang sering dihadapi oleh guru dalam mengurus bilik darjah adalah berkait rapat dengan komunikasi antara guru dan pelajar, peraturan dan prosedur yang digariskan oleh pihak pengurusan dan pentadbiran, persepsi ibubapa terhadap tindakan guru, pengaruh rakan sebaya dan faktor persekitaran.
OBJEKTIF KAJIAN
Disini dapat disenaraikan beberapa objektif kajian ini dijalankan, iaitu:
i) Untuk mengetahui pengurusan bilik darjah berdasarkan pembelajaran abad ke-21.
ii) Untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru dalam pengurusan bilik darjah.
iii) Untuk mengetahui peranan seorang guru dalam pengurusan bilik darjah
PENGENALAN
Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab. Pengurusan bilik darjah bermaksud bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling berkerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku (Bosch, 2006). Ianya adalah pakatan di antara guru dan pelajar untuk mengurus segala aspek terdapat dalam bilik darjah yang melibatkan pengurusan pelajar, kemudahan fizikal serta aktiviti yang dilaksanakan agar satu alam belajar yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan (Mok Soon Sang, 2011). Pengurusan bilik darjah merupakan sebahagian dari proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk membina serta memupuk tingkah laku pelajar dalam bilik darjah agar proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan lancar, manakala aktiviti penyampaian ilmu bertujuan pelajar dapat mencapai objektif spesifik sesuatu pembelajaran. Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta tingkah laku pelajar. Maka, bilik darjah yang diurus dengan baik dapat membentuk satu budaya pengajaran dan pembelajaran yang positif dan kondusif. Guru-guru boleh mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas harian mereka di sekolah. Sekiranya ia wujud dalam bilik darjah, pelajar akan berminat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan tanpa gangguan atau halangan. Sehubungan ini, pengetua perlu memastikan para guru memahami tugas dan peranan mereka dalam menentukan disiplin pelajar di bilik darjah berada dalam keadaan baik dan terkawal pada setiap masa.
DAPATAN KAJIAN
Pengurusan bilik darjah berdasarkan pembelajaran abad ke-21
Dalam menuju kearah pendidikan bertaraf dunia, Malaysia perlu membawa perubahan yang akan memberi kesan kepada dunia pendidikan. Bersesuaian dengan matlamat dan zaman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) bermula pada tahun 2014.
Keberkesanan pembelajaran abad ke-21 ini bukan sekadar tertumpu pada prasarana dan susun atur bilik darjah tetapi penentu utama kejayaan adalah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid bukan berpusatkan guru. Guru perlu menjadi pemudahcara kepada murid dalam sesuatu aktiviti di dalam kelas. Warga pendidik perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran terkini dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 kerana mereka adalah jentera perlaksana untuk segala dasar-dasar yang dirancang oleh kerjaaan.
Persekitaran fizikal bilik darjah adalah penting kerana persekitaran yang kondusif boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pembelajaran.
Ciri-ciri bilik darjah abad ke-21
Sambil melangkah jauh ke alaf baru, ia menjadi jelas bahawa keperluan bilik darjah abad ke-21 adalah sangat berbeza daripada keperluan bilik darjah abad ke-20. Bilik darjah abad ke-21, guru adalah fasilitator kepada pembelajaran murid dan pencipta kepada persekitaran bilik darjah yang produktif di mana murid boleh membangunkan kemahiran yang diperlukan mereka di tempat kerja.
Focus bilik darjah abad ke-21 adalah pada murid, di mana mereka dapat mengalami persekitaran sebagaimana mereka akan memasuki alam pekerjaan pada abad ke-21 kelak. Kolaboratif kurikulum berasaskan projek yang digunakan di dalam kelas ini membangunkan kemahiran berfikiran aras tinggi, kemahiran komunikasi yang berkesan dan pengetahuan teknologi yang murid perlu di tempat kerja dalam abad ke-21.
Susunatur bilik darjah pembelajaran abad ke-21
Dari segi susunan fizikal bilik darjah, meja dan kerusi murid-murid disusun dengan kemas dan rapi mengikut kumpulan. Susunatur bagi bilik darjah abad ke-21 adalah mesti mempunyai beberapa ciri yang penting, iaitu membolehkan pelajar terlibat aktif dengan pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung, membina ruang autonomi pembelajaran dan meselarikan ruang pembelajaran fizikal dengan ruang pembelajaran mental. Tiga konsep utama yang boleh digunapakai adalah campfire, watering hole and cave. Campfire adalah konsep yang memberi ruang pembelajaran daripada orang pakar ataupun pencerita. Manakala konsep watering hole pula adalah ruang pembelajaran sesame rakan yang melibatkan kolaborasi dalam kumpulan yang kecil. Konsep cave pula adalah ruang pembelajaran individu untuk mereka yang belajar mendapatkan ilmu secara sendirian.
Dari segi saiz bilik darjah, ruang bilik darjah yang mencukupi diperlukan bagi sesebuah bilik darjah bagi memudahkan pergerakkan murid dan guru. Guru boleh berdiri di tengah kelas serta dapat memberi perhatian kepada semua murid dalam kumpulan. Dengan ini, murid-murid dapat memberi sepenuh perhatian kepada guru yang mengajar di hadapan. Saiz bilik darjah yang besar akan memberikan keselesaan semasa murid-murid dalam bilik darjah.
Dari segi kemudahan, bilik darjah abad ke-21 dilengkapi dengan kerusi dan meja yang mencukupi, papan hitam atau putih, sudut objektif, ruang paparan hasil kerja murid, parking lot, bahan-bahan untuk pengajaran dan pembelajaran, alat bantu mengajar yang disediakan oleh guru, punch card dan traffic light card. Parking lot adalah satu sudut murid boleh menampal semua refleksi tentang pembelajaran yang telah diikuti. Guru perlulah mengambil maklum dan memberikan penerangan jika ada sebarang soalan yang ditampal oleh murid pada parking lot tersebut. Melalui kaedah ini, guru dapat mengetahui jumlah murid yang menguasai atau tidak menguasai pembelajaran hari tersebut. Selain itu, kemudahan yang digunakan adalah traffic light card. Pelbagai kegunaan traffic light cards antaranya guru boleh menggunakan untuk mengetahui tahap pemahan murid, murid yang tidak faham akan mengangkat kad berwarna merah, murid yang tidak pasti akan mengangkat kad berwarna kuning manakala murid yang faham akan mengangkat kad berwarna hijau. Selain itu, traffic light card juga untuk mengawal murid daripada bercakap apabila ingin melontarkan pertanyaan dengan cara murid yang ingin bertanya, boleh diarahkan untuk mengangkat traffic light berwarna merah atau kuning dan guru akan bergerak kearah murid tersebut. Seterusnya, sudut objektif adalah bermaksud sudut untuk guru menulis objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan. Objektif dan kriteria kejayaan bukan sahaja ditulis tetapi perlu diterangkan oleh guru kepada murid.
Kaedah temuramah digunakan dalam kajian ini dapat memberikan kerjasama untuk memberi maklumat berkenaan dengan pengurusan bilik darjah berdasarkan pembelajaran abad ke-21.
Soalan 1: Bagaimanakah kaedah guru mengurus bilik darjah pada pertemuan kali pertama?
“...guru juga perlu berkenal-kenalan dengan murid di dalam kelas pada pertemuan kali pertama dengan murid tersebut agar murid berasa selesa terhadap guru tersebut dan membuka diri mereka untuk menerima pengajaran daripada guru tersebut. Di samping itu, pada pertemuan kali pertama guru haruslah menyusun meja murid tersebut agar mereka duduk di dalam kumpulan dan dalam satu kumpulan itu terdiri daripada murid yang pandai dan juga murid yang lemah. Dengan itu, murid yang pandai dapat membantu murid yang lemah sekiranya mereka tidak faham apa yang telah diajarkan oleh guru...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 2: Bagaimanakah keadaan yang dikategorikan persekitaran bilik darjah yang sesuai bagi sesi pembelajaran?
“...perkara utama untuk mendapatkan susunan bilik darjah yang baik adalah dengan memastikan lalu lintas dalam bilik darjah tidak sesak. Maksud lalu lintas di sini adalah laluan antara meja ke meja dan laluan di dalam kelas tersebut. Selain itu, semua murid harus dipastikan agar dapat dilihat oleh guru supaya guru dapat memantau kelakuan murid di dalam kelas. Di samping itu juga, persekitaran yang sesuai di dalam bilik darjah adalah dengan memastikan murid mudah melihat apa yang ditulis di papan putih dan dapat mendengar dengan jelas penyampaian daripada guru. Ruang dan tempat yang sesuai untuk guru berdiri semasa mengajar juga turut diambil kira untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang sesuai. Bilik darjah juga perlu mempunyai papan buletin atau papan kenyataan untuk mempamerkan berkenaan informasi tambahan atau hasil kerja murid. Penggunaan ruang juga harus dilaraskan agar perabot dan alatan seperti meja guru atau rak untuk meletakkan buku bagi sudut bacaan dapat disusun dengan teratur dan kemas...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 3: Apakah masalah yang sering dihadapi oleh guru dalam pengurusan bilik darjah?
“...guru berhadapan dengan masalah disiplin murid di dalam kelas seperti murid ponteng kelas, ponteng sekolah, berpura-pura sakit, bising di dalam kelas sehingga mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran dan banyak lagi. Seterusnya bilangan murid yang ramai di dalam kelas juga menjadi suatu masalah buat guru kerana guru tidak dapat mengawal kelas dengan baik dan juga di dalam kelas tersebut terdiri daripada pelajar yang mempunyai daya pemahaman yang berbeza. Terdapat murid yang cekap dan terus memahami apa yang diajar oleh guru dan terdapat juga murid yang lemah dari segi pemahamannya dan memerlukan penerangan dengan lebih jelas oleh guru. Dengan itu, apabila sesebuah kelas itu mempunyai ramai murid maka guru tidak dapat fokus kepada murid yang lemah tersebut kerana terlalu ramai murid di dalam sesebuah kelas...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 4: Apakah peranan guru dalam menguruskan bilik darjah?
“...peranan guru sebagai pengurus bilik darjah yang utama adalah mendapatkan kerjasama daripada murid. Kerjasama daripada mereka amat diharapkan agar segala yang dirancang oleh guru tersebut dapat terlaksana dengan baik. Oleh itu, guru seharusnya berusaha mendapatkan kepercayaan murid agar mereka sudi untuk memberikan kerjasama semasa berada dalam bilik darjah dan guru harus bijak dalam menarik perhatian murid agar mereka berkeinginan untuk mengikuti arahan daripada guru tersebut. Selain itu, guru juga bertanggungjawab dalam menguruskan persekitaran bilik darjah bagi mewujudkan bilik darjah yang kondusif agar mampu merangsang suasana pembelajaran yang optimum. Sebagai contoh, guru menyuruh murid mengutip sampah yang berdekatan dengan mereka terlebih dahulu sebelum memulakan kelas agar kelas tampak bersih dan juga memastikan susunan meja tampak teratur dan kemas supaya murid dapat belajar dalam keadaan yang selesa. Di samping itu, guru juga bertindak sebagai pengurus yang memastikan setiap rutin bilik darjah berjalan dengan lancar dan memastikan ianya berjalan seperti yang dirancang bagi memastikan tahap disiplin pelajar dapat dikawal. Jika rutin bilik darjah berjalan lancar, kelangsungan proses P&P turut terpelihara...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 5: Bagaimanakah susunan meja di dalam bilik darjah mengikut abad ke-21?
“...pada awal tahun, guru kelas akan memastikan murid menyusun meja mereka dalam bentuk kumpulan kerana pembelajaran mengikut abad ke-21 adalah berorientasikan murid dan guru hanya bertindak sebagai fasilitator sahaja. Hal ini bagi membuatkan mereka merasai persekitaran sebagaimana mereka akan masuk sebagai pekerja abad ke-21. Kolaboratif kurikulum berasaskan projek yang digunakan di dalam bilik darjah ini dapat membangunkan kemahiran berfikiran aras tinggi, kemahiran berkomunikasi dengan berkesan dan pengetahuan teknologi yang murid perlu di tempat kerja pada abad ke-21. Maka, penyusunan meja dalam bentuk kumpulan adalah bersesuaian bagi mencapai objektif pembelajaran mengikut abad ke-21. Selain itu, murid juga dapat berbincang sesama mereka dan meluahkan pendapat masing-masing kerana pendapat daripada setiap murid itu pasti berbeza. Di samping itu, kumpulan tersebut terdiri daripada murid yang lemah dan juga murid yang pandai. Jika mereka dicampurkan dalam satu kumpulan, murid yang pandai tersebut dapat membantu murid yang lemah itu...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 6: Bagaimanakah set induksi digunakan oleh guru di dalam bilik darjah?
“...set induksi adalah set bagi memulakan sesuatu pelajaran yang melibatkan sebarang idea, pendekatan, teknik, proses, aktiviti dan sumber bagi menarik perhatian pelajar supaya bersedia menghadapi pelajaran. Tujuan utama set induksi ini digunakan di dalam bilik darjah adalah untuk membina aliran fikiran serta menimbulkan minat murid-murid supaya mereka akan menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran yang hendak disampaikan dan ia tidak digunakan untuk setiap kali pengajaran hanya topik-topik tertentu sahaja yang menggunakan set induksi ini. Sebagai contoh, bagi tajuk jirim dalam mata pelajaran Sains guru akan memberi satu kumpulan satu belon dan menyuruh mereka meniup belon tersebut. Selepas itu, guru akan bertanya kepada mereka apa yang masuk dalam belon tersebut dan bagaimana belon itu boleh mengembang? Selepas itu, murid akan cuba memberi jawapan mereka dan kemudian guru akan memberitahu jawapan yang betul dan mengaitkan dengan apa yang hendak mereka pelajari pada hari tersebut iaitu jirim. Dengan itu, murid akan dapat lihat dan dapat memahami dengan lebih jelas lagi apa yang akan diajar oleh guru pada hari tersebut sekali gus menarik minat murid untuk belajar berkenaan topik tersebut...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 7: Apakah kesan pengurusan bilik darjah yang berkesan?
”...kesan pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah ramai murid yang berjaya dan cemerlang dari segi akademiknya. Hal ini menunjukkan bahawa pencapaian murid adalah hasil daripada perlakuan guru, seperti merancang, mengurus dan mengajar dengan baik dan juga ianya juga daripada perlakuan murid tersebut di dalam bilik darjah seperti melibatkan diri dalam perbincangan di dalam bilik darjah, menguasai pelajaran dan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru. Seterusnya, pengurusan bilik darjah yang berkesan menggalakkan daya pemikiran kreatif yang tinggi di kalangan murid. Ia berkaitan dengan corak penyusunan tempat duduk dan pengaturan bilik darjah. Penggalakkan murid- murid supaya aktif didalam bilik darjah adalah bergantung kepada corak bilik darjah tersebut. Perkara ini memerlukan imaginasi guru supaya perkongsian ilmu melalui perbincangan dapat dilakukan antara mereka dengan suasana yang selesa. Papan kenyataan dalam bilik darjah juga menggalakkan pemikiran yang lebih baik sekiranya diamanfaatkan secara berkesan. Selain itu, pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Hal ini kerana, kemampuan seseorang guru dalam mengurus bilik darjah secara fizikal, iklim, komunikasi dan pengawalan disiplin dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar seterusnya objektif dan matlamat dapat dicapai. Murid juga akan merasa seronok dan dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap apa yang diajarkan oleh guru...”
(Sumber: Guru 1)
Masalah yang di hadapi oleh guru
Dalam pengurusan bilik darjah terdapat beberapa masalah atau halangan yang perlu dihadapi oleh guru. Masalah utama yang dihadapi oleh guru dalam pengurusan bilik darjah adalah tingkah laku serta disiplin pelajar. Kebanyakan guru berasa terbeban dengan masalah disiplin yang perlu mereka tangani setiap hari di sekolah kerana kebanyakan masalah disiplin adalah pelbagai dan simptom dari masalah berbeza yang dihadapi oeh pelajar pada tahap yang berlainan (Myint et al. 2004). Fontana (1985) menyenaraikan beberapa perkara yang menyebabkan kesukaran kepada para guru untuk mengawal dan mengurus tingkah laku pelajar di dalam bilik darjah iaitu, perbezaan tingkah laku disebabkan umur, kemahiran dan keupayaan berbeza antara pelajar, perbezaan sosio ekonomi dan perbezaan budaya dalam kalangan pelajar. Antara halangan pengurusan bilik darjah adalah peraturan yang rigid, peribadi guru yang menghalang mereka daripada mengambil tindakan terhadap pelajar, ibubapa yang memanjakan anak mereka dan kumpulan pelajar yang membentuk kumpulan atau ‘klik’ sendiri (Mook Soon Sang, 2011). Haliza dan Joy Nesamalar (2009) pula menyenaraikan hubungan ibubapa, pengaruh rakan sebaya, keadaan persekitaran bilik darjah, masalah perkembangan murid dan salah laku yang tidak dijangka merupakan beberapa masalah yang sering dihadapi oleh para guru dalam usaha menguruskan bilik darjah di sekolah.
Selain itu, masalah susun atur dan peralatan yang tidak cukup atau pun telah rosak juga akan memberi impak kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Dari aspek susun atur sebuah bilk darjah, guru seringkali berhadapan dengan kematian punca untuk mengatur kedudukan meja dan kerusi pelajar-pelajar malah meja dan kerusi guru itu sendiri juga. Hal ini mungkin disebabkan dua faktor yang utama iaitu bilangan pelajar yang begitu ramai dalam satu bilik darjah dan yang keduanya ditambah pula dengan ruang bilik darjah yang begitu terhad. Situasi ini berlaku kepada guru yang mengajar di sekolah harian. Menurut Savage (1999), menyusun atur persekitaran fizikal bukan sahaja akan mempengaruhi tingkah laku pelajar malah ia juga boleh mempengaruhi sikap pelajar dan penyumbangan kepada akademi pelajar. Ditinjau dari aspek peralatan pula, selalunya bukanlah peralatan yang disediakan itu tidak mencukupi tetapi selalunya peralatan itu tidak boleh berfungsi atau dengan kata lain rosak. Sebagai contoh antara alatan-alatan yang selalu mudah rosak sama ada rosak atau dirosakkan pelajar ialah pemadam papan hitam, penyapu, peralatan di ruangan belajar seperti almari malahan kadang-kadang papan hitam dan meja serta kerusi pun turut rosak atau dirosakkan. Peralatan-peralatan seperti ini memang tidak dapat dinafikan bantuannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan telah pun disediakan oleh pihak pengurusan tetapi pengedarannya secara berkala seperti papan hitam mungkin dua atau tiga tahun sekali. Di sini jelas menunjukkan masalah yang guru dan bakal guru akan hadapi di dalam bilik darjah.
Peranan guru dalam pengurusan bilik darjah
Guru memainkan peranan sebagai pembimbing, penyelaras atau fasilitator. Peranan guru dalam menguruskan bilik darjah bukan sahaja tertumpu pada pengurusan persekitaran pembelajaran yang kondusif, tetapi juga tentang pengurusan pentaksiran dan juga menguruskan sumber maklumat.
Persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Sebagai seorang guru, persekitaran yang sihat haruslah dititikberatkan bagi mendorong murid untuk minat belajar. Kesimpulannya, iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada budaya yang dapat menwujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah mencapai matlamat pembelajaran. Selain itu, Seseorang guru perlu mempunyai daya tarikan tersendiri dari segi pengajaran dan juga komunikasi dengan pelajar. Di samping itu, faktor yang paling penting dalam membincangkan peranan guru dalam pengurusan bilik darjah adalah komunikasi yang berkesan. Antara ciri tersebut adalah penggunaan bahasa yang sopan dan mudah difahami. Sebagai seorang guru, hendaklah ditegaskan untuk bersopan ketika menutur kata walaupun berhadapan dengan situasi yang tegang. Hal ini kerana, guru harus bersikap profesional dalam menjalankan tugas. Selain itu, sewaktu pembelajaran berlaku, guru perlu lah memberi perhatian kepada semua pelajar, tiada unsur pilih kasih antara yang lemah dan pandai. Guru juga perlu memberi perhatian terhadap murid dan juga menghormati keputusan mereka. Sewaktu pengajaran dan pembelajaran, guru digalakkan untuk mempunyai kontek mata apabila berbicara dengan murid dan juga bersemangat ketika mengajar dengan menggunakan lontaran suara yang jelas bagi menggalakkan murid menumpukan perhatian. Personaliti seseorang guru juga sangat penting kerana guru selalu dijadikan contoh dalam masyarakat. Seorang guru yang profesional mestilah mempunyai kekuatan dari segi mental kerana sangatlah mencabar untuk mengawal murid serta menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada waktu yang sama. Justeru, kemahiran mengurus bilik darjah tidak boleh dipandang enteng.
PERBINCANGAN
Dalam konteks kajian ini, pengurusan bilik darjah merujuk tugas guru dalam mengurus rutin harian bilik darjah. Terdapat enam rutin yang perlu diikuti oleh guru dalam mengurus bilik darjah iaitu rutin kelas, rutin pentadbiran, rutin pergerakan murid, rutin pengurusan tugasan, rutin pembelajaran serta rutin interaksi.
1) Rutin kelas
● Rutin kelas merupakan peraturan dan prosedur untuk mewujudkan situasi pengajaran dan pembelajaran P&P yang baik dan berkesan. Contohnya seperti menjaga kebersihan, kekemasan, jadual bertugas murid dan sebagainya ketika di dalam bilik darjah.
2) Rutin pentadbiran
● Dalam rutin pentadbiran, peranan guru merupakan peranan yang pelbagai kerana guru perlu mentadbir bilik darjah dengan berkesan untuk dapat menjimatkan masa dan tenaga kepada guru dan murid. Contohnya adalah mencatat kehadiran, memungut yuran murid, laporan kemajuan murid, kad 001 dan kad kesihatan murid.
3) Rutin pergerakan murid
● Ini adalah penting kepada setiap murid di sekolah iaitu pergerakan murid ketika berada di dalam kelas mahupun di luar kelas bagi memastikan keselamatan mereka terjaga. Guru hendaklah memastikan murid-muridnya beratur sebelum memasuki atau apabila mahu keluar kelas dengan tertib dan teratur. Contohnya, aktiviti yang dilakukan di dalam bilik darjah ke aktiviti luar bilik darjah, aktiviti kelas ke aktiviti kumpulan dan ke kelas makmal komputeratau makmal sains yang memerlukan murid untuk bergerak.
4) Rutin pengurusan tugasan
● Persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat aktiviti. Guru perlu memberitahu hasil pembelajaran yang diharapkan supaya murid tahu apa yang perlu difahami oleh mereka dan guru perlu memantau setiap aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid itu.
5) Rutin pembelajaran
● Setiap murid perlu melibatkan diri dalam pembelajaran dengan aktif. Sebagai contohnya, dengan memungut buku latihan, menagih bahan dan buku.
6) Rutin interaksi
● Rutin interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran menekankan aktiviti berpusat kepada murid. Interaksi di antara guru dan murid sangat digalakkan tetapi ada caranya dan bersopan. Melalui interaksi yang berkesan, murid dapat mencerna pembelajaran dengan baik dan berani untuk tampil ke hadapan berhadapan dengan orang ramai. Contohnya seperti, perbincangan kelas atau kumpulan, membuat ujikaji makmal dan projek.
Di dalam bilik darjah, guru yang mengurus murid-murid supaya melakukan aktiviti bilik darjah, cara menyusun kerusi-meja dan peralatan bilik darjah, mengurus pergerakan pelajar di dalam atau di luar bilik darjah, mengurus bahan-bahan pengajaran untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan serta mengawal disiplin pelajar di dalam kelas bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Konteks amalan pengurusan bilik darjah adalah luas. Pelajar akan sentiasa memerhati dan saling berinteraksi dengan guru di dalam atau di luar bilik darjah. Maka, pendekatan atau amalan guru berupaya mempengaruhi pelajar dalam bilik darjah serta prestasi akademik dan sahsiah mereka sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Pengurusan bilik darjah yang efektif memerlukan kemahiran merancang, mengelola dan merefleksi disamping keupayaan bekerja dalam kumpulan (Bosch, 2006).
Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh guru ialah bagaimana guru akan mengurus bilik darjah pada hari pertama melangkah masuk ke bilik darjah untuk mengajar. Para pelajar secara langsung akan terus menilai guru yang akan mengajar mereka. Sebagai seorang guru, perlu lebih bersedia dan merancang apakah yang akan guru lakukan pada kali pertama melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Apabila melangkah masuk ke dalam bilik darjah pada kali pertama, guru perlu memulakan pertemuan tersebut dengan sesi perkenalan. Pengetahuan guru mengenai nama dan latar belakang pelajar akan dapat membantu mengeratkan lagi hubungan dengan pelajar sekaligus dapat membantu guru pelatih mengawal bilik darjahnya dengan baik dan cekap. Kaedah ini memudahkan guru untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku ataupun ketika berurusan di luar bilik darjah. Pelajar akan berasa bangga dan dihargai apabila mereka dipanggil oleh guru. Guru perlu membuat perancangan yang rapi berkaitan dengan susunatur di bilik darjah. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah. Pelajar perlu berada di dalam kedudukan yang selesa di mana mereka boleh melihat guru ataupun sebarang persembahan pengajaran oleh guru tanpa perlu berpaling ataupun bergerak ke mana-mana.
Selain itu, masalah yang dihadapi oleh guru dalam mengurus bilik darjah adalah dari tingkah laku disiplin pelajar dan masalah susun atur dan peralatan yang tidak cukup akan memberi impak kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Antara strategi menangani masalah tingkah laku disiplin pelajar yang berkesan ialah bersikap tegas dengan pelajar. Ketegasan di bilik darjah bermaksud guru perlu bijak memperjelaskan ekspektasinya kepada pelajar. Guru perlu tegas dengan memperjelaskan prosedur dan peraturan di bilik darjah serta ekpektasi yang guru harapkan daripada pelajarnya. Ini sebagai isyarat kepada pelajar supaya mereka bertingkah laku seperti yang dikehendaki dan tidak memberi peluang kepada mereka untuk melampaui garis paraturan yang telah ditetapkan. Strategi ini mungkin lebih sesuai digunakan bagi para pelajar yang tingkah laku mereka sukar dikawal ataupun mereka kurang mendapat perhatian dan layanan kasih sayang di rumah. Justeru itu, mereka ingin menguji sama ada semua orang dewasa yang mereka temui benar-benar mengambil berat dan memberi perhatian terhadap mereka. Walaupun berhadapan dengan pelajar sebegini, kaedah-kaedah berikut boleh dicubatiru bagi mengatasi masalah ini. Strategi yang dicadangkan melibatkan sebahagian besar guru yang perlu memainkan peranan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah seharusnya menjadi aspek yang penting dalam usaha ke arah sistem pendidikan yang terbaik selaras dengan pembelajaran abad ke-21 yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 lagi. Usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan melalui pendidikan abad ke-21 telah menampakkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dan memberi impak yang besar kepada sistem pendidikan di Malaysia. Pengurusan bilik darjah yang dikatakan juga menjadi salah satu faktor kecemerlangan pelajar. Hal ini telah dibuktikan melalui kajian yang telah kami lakukan. Pengurusan bilik darjah yang baik dari segi persekitaran bilik darjah yang bersih, kemas serta ceria menaikkan lagi semangat para pelajar untuk belajar dan membuatkan mereka lebih selesa untuk belajar di dalam persekitaran yang ceria. Mengikut pendidikan abad ke-21 yang berpusatkan pelajar maka seharusnya keperluan dan kepentingan pelajar harus dijaga dan diutamakan. Melalui dapatan kajian yang telah di beri, persekitaran fizikal bilik darjah penting kerana persekitaran yang kondusif boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran pelajar. Persekitaran fizikal boleh dikategorikan sebagai susun atur meja dan juga kerusi di dalam bilik darjah. Selain itu, hiasan di dalam bilik darjah yang mempunyai unsur-unsur setiap subjek sebagai contoh subjek Sains atau Matematik di samping mencantikkan kawasan di dalam bilik darjah, pelajar juga dapat menambahkan ilmu mereka terhadap subjek tersebut. Tidak kurang penting juga dari segi warna cat di dalam bilik darjah supaya bilik darjah tersebut tidak kelihatan suram atau sempit. Kemudahan yang diberikan kepada sekolah haruslah mencukupi supaya pelajar dan guru boleh menggunakan kemudahan tersebut dan kemudahan tersebut hendaklah sentiasa diperbaiki jika ada yang rosak mahupun tidak boleh digunakan. Peranan daripada guru dan pelajar amatlah penting dalam pengurusan bilik darjah agar kelas tersebut terjaga dan sentiasa ceria. Jadi, melalui kajian ini kita dapat buktikan bahawa pengurusan bilik darjah amat penting. Guru dan pelajar yang dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan bilik darjah seharusnya berganding bahu dalam menjayakan salah satu usaha ke arah kecemerlangan murid dan sekolah ini.